Selamat datang ke blog batch Evolution95 (Batch SMSJ 2008-2012), laman web umum bagi batch Evolution95.

Friday 31 May 2013

TAZKIRAH JUMAAT EVOLUTION95 : MAZMUMAH HILANGKAN KEBAHAGIAAN HATI

Ramai yang mengaitkannya sebagai penyakit hari. Kalau tidak diubati, penyakit ini boleh merosakkan urusan kehidupan. Oleh sebab itu, umat Islam sering diingatkan agar berhati-hati dengan penyakit hati dan berusaha untuk menghindarinya. Imam al-Ghazali mengkategorikan penyakit hati sebagai perkara mazmumah (keji) yang perlu dipandang serius agar manusia tidak terus alpa. Antaranya :

1.Suka makan dan minum. Makan dan minum sebenarnya tidak salah tetapi apabila tidak dikawal maka perkara ini dilihat sebagai perkara yang mazmumah. Begitu juga mereka yang makan secara gelojoh. Yang pasti, makan dan minum yang terlalu banyak akan menyebabkan manusia malas sekali gus lalai menunaikan ibadah.
2.Banyak bercakap. Syarrul kalam ialah banyak berkata-kata atau banyak bercakap. Orang yang banyak bercakap, selalunya akan banyak melakukan kesalahan dalam percakapan sekali gus akan menimbulkan fitnah dan umpatan. Oleh itu, hendaklah kita jauhi sifat banyak bercakap agar kita tidak tergolong dalam kalangan mereka yang berdosa.
3.Pemarah. Sifat pemarah ialah senjata bagi menjaga hak dan kebenaran. Oleh sebab itu, seseorang yang tidak mempunyai sifat pemarah akan dizalimi dan dicerobohi hak-haknya. Namun, jika keterlaluan dan tidak kena pada tempat akan membawa kerosakan kepada diri sendiri dan orang lain. Ingatlah bahawa syaitan adalah agen utama yang sentiasa ingin melihat berlakunya porak-peranda hanya kerana manusia tidak dapat mengawal nafsu amarahnya. Rasulullah S.A.W. menganjurkan mereka yang memiliki sifat pemarah berwuduk supaya dapat meredakan kemarahannya.
4.Hasad dengki dan iri hati. Ini satu lagi sifat mazmumah yang banyak berlaku dalam masyarakat. Ketahuilah bahawa orang yang bersifat demikian seolah-olah membangkang setiap ketentuan Allah S.W.T.. Firman-Nya dalam surah Al-Imran ayat 120, “Sekiranya kamu mendapat kebaikan, nescaya mereka akan berasa kurang senang, tetapi apabila kamu mendapat kecelakaan, mereka bersuka ria kerananya.” Orang yang berperangai seperti itu juga sentiasa dalam keadaan berdukacita dan iri hati kepada orang lain yang akhirnya menimbulkan fitnah dan hasutan yang membawa bencana dan kerosakan.
5.Kasih pada harta. Tidak salah sekiranya memiliki harta dan kemewahan hidup tetapi kemewahan yang membawa sifat bakhil, tamak haloba dan juga membazir dibenci oleh Islam. Sebaliknya, harta dunia harus dijadikan jambatan untuk mendapat kebaikan di akhirat. Allah S.W.T. berfirman dalam surah Al-Munafiqun ayat 9, “Hai orang beriman, janganlah kamu dilalaikan dengan harta kekayaan dan anak pinakmu daripada mengingati Allah. Sesiapa yang berbuat demikian, maka tergolonglah mereka dalam kalangan orang yang rugi.”
6.Takbur. Takbur ialah membesarkan diri atau berkelakuan sombong serta bongkak. Orang yang takbur memandang dirinya lebih mulia dan lebih tinggi pangkatnya daripada orang lain serta memandang orang lain itu hina dan tidak setaraf dengannya. Sifat takbur ini tiada sebarang faedah malah membawa kebencian Allah S.W.T. dan juga manusia. Firman Allah S.W.T., “Dan apabila dikatakan kepadanya : “Bertakwalah engkau kepada Allah”, timbullah kesombongannya dengan (meneruskan) dosa (yang dilakukannya itu). oleh itu padanlah ia (menerima balasan azab) neraka jahanam dan demi sesungguhnya, (neraka jahanam itu) adalah seburuk-buruk tempat tinggal.” (Surah Al-Baqarah : 206)
7.Riak. Perasaan inginkan kemegahan dan pangkat kebesaran menjadikan perbuatan seseorang itu tidak ikhlas kerana Allah S.W.T.. Akibat daripada sifat tersebut, manusia dibawa kepada sifat tipu helah sesama manusia dan menyebabkan seseorang itu membelakangkan kebenaran kerana menjaga pangkat dan kebesaran.
8.Ujub. Sifat ujub berkait rapat dengan takbur dan riak. Ujub bermaksud seseorang itu berasa megah dengan keistimewaan dan kelebihan diri sendiri. Biasanya sifat ini dilihat daripada kecantikan, kepandaian , kekayaan dan lain-lain.
9.Kasih akan dunia. Hati yang sentiasa berpaut pada kehidupan dan kesenangan duniawi menyebabkan seseorang itu takut mati. Hakikat ini digambarkan oleh Allah S.W.T. dalam firman-Nya yang bermaksud, “Ketahuilah sesungguhnya kehidupan dunia adalah permainan, senda gurau, perhiasan, bermegah-megah antara kamu dan berlumba-lumba dalam mengumpul harta kekayaan dan anak pinak.” (Surah Al-Hadid : 20)

Dipetik dan diubahsuai daripada Majalah AL-ISLAM Edisi Mei 2013

No comments:

Post a Comment