Selamat datang ke blog batch Evolution95 (Batch SMSJ 2008-2012), laman web umum bagi batch Evolution95.

Friday 24 May 2013

TAZKIRAH JUMAAT EVOLUTION95 : KETINGGIAN DARJAT GURU DAN ADAB ULAMA TERHADAP GURU


Imam At-Tirmidzi meriwayatkan bahawa Abu ’Umamah al-Bahili R.A. telah berkata: Bahawasanya Rasulullah S.A.W. bersabda: “Kelebihan orang alim (ulama) atas ahli ibadat adalah seperti kelebihanku ke atas orang yang paling rendah di antara kamu. Kemudian Baginda bersabda lagi: Sesungguhnya para malaikat dan penduduk langit dan bumi hinggakan semut dalam lubangnya berserta ikan bersalawat (berdoa) untuk orang-orang yang mengajar kebaikan kepada manusia.” (Hadits riwayat At-Tirmidzi)
Amirul Mukminin Sayyidina Umar Ibnu Al-Khaththab R.A. berkata: "Kematian seribu ahli ibadat yang bangun beramal ibadat sepanjang malam dan berpuasa sepanjang siang lebih ringan dari kematian seorang alim yang mahir tentang apa yang Allah Ta‘ala halalkan dan apa yang diharamkan olehNya."

Sesuai dengan ketinggian darjat dan martabat guru itu berdasarkan kenyataan di atas, maka tidak hairanlah bahawa para ulama sangat menghormati guru mereka. Antara cara mereka memperlihatkan penghormatan mereka terhadap guru ialah:
1. Mereka merendah diri terhadap ilmu dan guru dan sentiasa menurut perintah serta nasihat guru dan sentiasa meminta pendapat serta pandangan guru dalam setiap urusan mereka.
2. Mereka mentaati setiap arahan serta bimbingan guru umpama seorang pesakit yang tidak tahu apa-apa yang hanya mengikut arahan seorang doktor pakar yang mahir.
3. Mereka juga sentiasa berkhidmat untuk guru-guru mereka dengan mengharapkan balasan pahala serta kemuliaan di sisi Allah S.W.T. dengan khidmat tersebut.
4. Mereka memandang guru dengan perasaan penuh hormat dan takzim serta mempercayai kesempurnaan keahlian dan kepakarannya dalam bidang perguruannya. Sayyidina Ali Karramallahu Wajhah berkata: “Antara hak seorang alim ke atasmu ialah memberi salam ke atas orang ramai secara umum dan mengkhususkan gurumu dengan penghormatan yang khusus dan istimewa.”
5. Mereka sentiasa mendampingi guru supaya mendapat berkat serta beroleh ilmu yang akan tercurah daripadanya pada bila-bila masa serta menjadikannya qudwah (ikutan). Imam Syafi‘e misalnya, sejak pertemuannya dengan gurunya iaitu Imam Malik pada tahun 170 Hijrah, hampir tidak pernah meninggalkan gurunya sehingga gurunya itu wafat pada tahun 179 Hijrah kecuali ketika pergi ke Makkah untuk menjenguk ibunya ataupun pergi ke pusat ilmu dan feqh. Itu pun setelah beroleh keizinan serta restu daripada gurunya. Jika direstui, Imam Malik akan menyiapkan bekal dan wang perbelanjaan sambil mendoakan keselamatannya.
6. Mereka tidak menggunakan ganti nama diri seperti “engkau” dan “awak” dan tidak memanggil atau meneriaki guru dari jauh. Al-Khatib berkata: Hendaklah dia berkata “Wahai guru, apakah pendapat kamu mengenai hal ini?” dan kata-kata seumpamanya. Dan tidak menggelarkannya dengan namanya kecuali
disertakan dengan gelaran-gelaran yang menunjukkan penghormatan serta takzim kepadanya.
7. Mereka tidak sekali-kali berbantah-bantah ataupun berlawan cakap dengan guru. Sesungguhnya, menuntut ilmu itu adalah satu bentuk ibadah dan salah satu cara untuk mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala, bukannya untuk bermegah-megah ataupun untuk berbantah-bantah dengan ilmu tersebut. Dalam satu hadits riwayat Imam Al-Hakim, Ka‘ab bin Malik R.A. berkata bahawa Rasulullah S.A.W. telah bersabda: “Barangsiapa mencari ilmu untuk menyaingi para ulama atau untuk bertengkar dengan orang-orang bodoh atau supaya hati manusia menghadap kepadanya maka ia akan masuk neraka.”(Hadits riwayat Al-Hakim)
8. Mereka berterima kasih kepada guru atas segala tunjuk ajar serta bimbingannya terhadap segala kebajikan dan tegahan serta tegurannya ke atas segala kekurangan atau kemalasan dan sebagainya bagi memperbaiki diri dan mengganggap teguran, asuhan, didikan serta keprihatinan guru itu sebagai rahmat dan kurniaan yang tak terhingga kepada mereka oleh Allah S.W.T.
9. Jika mereka berhajat kepada guru mereka di luar waktu mengajar sedangkan guru tersebut sedang berehat ataupun tidur, maka guru itu tidak akan diganggu. Ibnu ‘Abbas R.A. pernah mendatangi salah seorang daripada sahabat Rasulullah S.A.W. untuk bertanya kepadanya mengenai suatu hadits. Lalu dikatakan kepadanya: “Dia sedang tidur”. Maka duduklah Ibnu ‘Abbas di muka pintu. Lalu dikatakan kepadanya: “Tidak perlukah kita mengejutkannya?” Ibnu ‘Abbas pun menjawab: “Jangan.”
10. Mereka tidak mendatangi guru di luar jadual waktunya untuk mengajar kecuali dengan izinnya, sama ada guru mereka itu sedang bersendirian mahupun sedang bersama dengan orang lain. Jika tidak ada izin daripada guru itu sedangkan guru itu mengetahui bahawa mereka sedang meminta izin untuk mendatanginya, maka mereka akan beredar dan tidak mengulangi isti’zan (permohonan izin) mereka.

No comments:

Post a Comment